BAGAN DATUK: Bilangan mangsa banjir di Perak meningkat pada jam 6 petang tadi apabila seramai 16 mangsa daripada lapan keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan daerah Bagan Datuk.
Berdasarkan laporan harian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak, jumlah itu bertambah berbanding jam 8 pagi tadi apabila sejumlah 15 mangsa daripada tujuh keluarga direkodkan melibatkan daerah sama.
Kesemua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat.
Mangsa yg ditempatkan di PPS tersebut terdiri daripada penduduk Kampung Sungai Belukang, Kampung Sungai Nipah Darat dan Kampung Sungai Tiang Darat.
Untuk rekod, hari ini adalah hari kedua PPS berkenaan beroperasi selepas dibuka jam 3 petang semalam.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual akan melawat mangsa di PPS berkenaan jam 9.15 pagi esok.