Tumpuan :
Nasional

16 individu termasuk penuntut IPTA ditahan AADK dalam operasi Tahun Baharu

Anggota Agensi AADK Negeri Kedah melakukan operasi mengesan penyalah gunaan dadah di pintu sempadan Malaysia Thailand sempena Tahun Baru 2025 di Komplek Imigresen Bukit Kayu Hitam. – FOTO: NSTP

BUKIT KAYU HITAM: Seorang penuntut universiti awam di utara tanah air ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah malam tadi kerana didapati positif dadah ketika pulang dari bercuti di negara jiran, semalam.

Penuntut berusia 23 tahun itu bersama tiga rakannya menaiki kereta dan ditahan untuk menjalani pemeriksaan lanjut ketika melalui sekatan AADK di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dekat sini, jam 9 malam tadi.

Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing yang dilakukan mendapati dia positif dadah jenis ganja manakala tiga rakannya negatif.

Dia mendakwa baru kali pertama mencuba mengambil dadah berkenaan sekadar untuk suka-suka namun tidak menyangka urinnya tersangkut menyebabkan dia takut.

“Sebelum ini tak pernah pun tapi ini pertama kali saya ambil dadah ini sebab itu saya menggeletar.

“Ketika itu saya sedang makan seorang diri di sebuah kedai dan dipelawa seorang lelaki Thailand yang tanya saya, nak cuba ‘smoke’ (hisap) ka, saya pun cubalah tapi tak sangka nak sangkut,” katanya ketika disoal penguat kuasa AADK, malam tadi.

Sementara itu Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, operasi itu bermula jam 6 pagi semalam hingga 12 tengah malam tadi ketika pintu pagar sempadan negara Malaysia-Thailand ditutup.

Beliau berkata, tujuan operasi ini dilakukan adalah untuk mengesan penyalah gunaan dan penagih dadah yang masuk melalui pintu sempadan negara sempena Tahun Baharu 2025.

“Operasi ini turut membabitkan sebahagian pegawai AADK Kedah serta Unit Anjing Pengesan (K-9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan sebarang kemasukan dadah melalui pintu masuk sempadan negara ini.

“Pelaksanaan operasi hari ini membabitkan sebanyak 15 buah kenderaan diperiksa dan 45 individu diminta menjalani ujian saringan awal air kencing.

“Bagaimanapun, daripada jumlah itu, hanya 16 daripadanya didapati positif dadah dan kebanyakan daripadanya adalah golongan belia sekitar 18 hingga awal 39 tahun,” katanya di lokasi operasi, malam tadi.

Khairul Anwar berkata, daripada jumlah 16 individu yang positif itu juga mendapati, 14 daripadanya adalah lelaki manakala dua daripadanya wanita.

Beliau berkata, enam daripadanya didapati positif dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) atau ecstacy manakala lima individu lagi positif Benzodiazepine (ubat penenang), tiga daripadanya positif tetrahydrocannabinol (THC) atau ganja dan dua lagi dikesan positif mitragynine atau ketum.

“Kesemua individu ini ditahan mengikut Seksyen 3(1) (a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini