KUANTAN: Penutupan jalan untuk kenderaan kecil akibat banjir mennyebabkan seramai 16 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah (SM) Chong Hwa, di sini, terpaksa menaiki lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk ke pusat peperiksaan.
Jurucakap APM Pahang, berkata pelajar terbabit yang dijadualkan menduduki peperiksaan lisan SPM pagi tadi turut ditemani empat guru termasuk pengawas peperiksaan.
“Kesemua pelajar terbabit berkumpul di perkarangan masjid Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPASS) sebelum dijemput oleh pihak APM menggunakan lori tiga tan kira-kira jam 7.15 pagi.
“Beberapa laluan termasuk berhampiran universiti dan pusat peperiksaan masih ditenggelami air dan tidak selamat untuk dilalui kenderaan ringan.
“Hujan di daerah ini sudah berhenti dan cuaca semakin baik hari ini malah kami menjangkakan laluan yang ditenggelami air akan boleh dilalui menjelang tengah hari,” katanya.
Sementara itu, pengurusan SM Chong Hwa dalam kenyataannya di Fecebook rasmi, memberitahu bantuan pengangkutan itu sudah diatur oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan.
“Jalan menghala ke sekolah SM Chong Hwa ditenggelami air menyebabkan laluan itu tidak boleh dilalui kenderaan.
“Semua calon SPM yang akan menduduki peperiksaan lisan sudah diarahkan menunggu di masjid UNIPASS dan pengangkutan akan disediakan ke pusat itu,” jelasnya. – BERITA HARIAN