Tumpuan :
Nasional

15,764.9 tan metrik e-waste bernilai RM55 juta disita menerusi Op Hazard

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15,764.9 tan metrik e-waste dengan anggaran bernilai RM55 juta berjaya disita menerusi Op Hazard yang dilaksanakan di seluruh negara.

Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jumlah itu direkodkan melalui pemeriksaan ke atas 47 premis.

Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad di Dewan Rakyat hari ini.

Pemeriksaan mendapati bahawa 30 premis beroperasi secara haram, 7 premis merupakan premis barang lusuh, 6 premis berlesen di bawah JAS, 3 premis berlesen di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan 1 gudang haram.

“Lokasi premis-premis tersebut berada di kawasan industri dan terdapat juga di luar kawasan industri seperti di tanah rizab, ladang kelapa sawit dan kawasan hutan”

“Premis-premis ini kebanyakannya beroperasi secara haram dan tidak dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)”

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir yang meminta kementerian menjelaskan tindakan tegas yang telah diambil oleh kementerian dalam membanteras penyeludupan e-waste ke dalam negara, susulan serbuan besar-besaran ke atas kilang haram memproses sisa elektronik di beberapa negeri baru- baru ini.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi memaklumkan, kesemua premis yang terlibat telah disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) (Akta 127) yang merangkumi pelbagai kesalahan.

Sehubungan itu, 37 premis telah dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), AKAS 1974 terhadap mesin-mesin pengeluaran yang digunakan di dalam premis tanpa sebarang alat kawalan.

Selain itu, sebanyak 59 Notis Arahan dan 27 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Sebanyak 52 kertas siasatan juga akan dibuka bagi tujuan tindakan mahkamah.

“Di bawah Seksyen 34B, AKAS 1974, sebarang penempatan buangan terjadual, sama ada di darat atau dalam perairan Malaysia, serta aktiviti transit atau membenarkan e-waste ditransit tanpa kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar, adalah satu kesalahan” ujar Nik Nazmi.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi menjelaskan, kerajaan juga idak membenarkan pengimportan e-waste berdasarkan polisi semasa negara dan Ban Amendment di bawah Konvensyen Basel yang melarang negara The Organization for Economic Cooperation and Development (OECD) mengeksport sisa berbahaya dari negara maju ke negara membangun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini