BALING: Seramai 154 mangsa daripada 49 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kompleks Rakan Muda Batu 42, sehingga jam 8 pagi ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata semua mangsa dinasihatkan terus berada di PPS mengambil kira keadaan cuaca yang masih mendung dan keadaan rumah mereka dinaiki banjir juga tidak selamat.
Beliau berkata, semua mangsa dari Kampung Carok Sikin, Paya dan Tanjung Merbau itu mula berpindah sejak petang semalam dan malam tadi.
“Mereka tidak dibenarkan pulang kerana penempatan tidak selamat dan keadaan rumah masih dipenuhi air dan sampah sarap.
“Kita bimbang kerana hujan masih turun dan mereka terpaksa berpindah semula, jadi untuk sementara mereka perlu tinggal di PPS sehingga keadaan pulih dan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota APM juga dikerah memantau dari semasa ke semasa dan menyukat paras air Sungai Ketil kerana arus masih deras.
Sementara itu, seorang mangsa, Norhati Md Yusof, 54, dari Kampung Carok Sikin, berkata semua barang berharga diletakkan di tempat selamat lebih awal bagi mengelakkan ditenggelami air susulan hujan lebat berterusan.
Beliau berkata, mereka anak-beranak memindah barangan lebih awal ke tempat selamat kerana bimbang susulan hujan berterusan dan berlaku banjir.
“Mujur barang-barang dipindahkan lebih awal dan tidak banyak barang yang rosak selepas rumah kami dimasuki air semalam.
“Demi keselamatan diri kami sekeluarga berpindah ke PPS kerana lebih selamat berbanding berada di rumah,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Ahmad Abd Raof, 65, berkata hujan lebat semalam menyebabkan air Sungai Ketil melimpah ke penempatan mereka.
Beliau yang uzur dan sakit lutut terpaksa menggunakan kerusi roda dan berpindah ke PPS kerana bimbang terperangkap.
“Saya terpaksa berpindah kerana air semakin naik dan bimbang berlaku kejadian buruk.
“Langkah awal lebih baik saya berpindah dan berada dI PPS yang lebih selamat,” katanya. – BERITA HARIAN