KUALA NERUS: Kira-kira 15,000 ahli Komuniti Rukun Tetangga (KRT) bersiap siaga bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negeri ini sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah Jabatan Perpaduan Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) Terengganu, Mohd Rosli Alias, berkata setiap ahli KRT terbabit akan digerakkan bagi melakukan tugas sukarelawan bermula sebelum, ketika banjir dan selepas banjir bagi memberi bantuan kepada komuniti setempat yang terkesan akibat bencana itu.
Katanya, pihak kementerian juga menubuhkan Skuad Uniti sejak 10 tahun lalu yang berfungsi membantu pasukan penyelamat dalam melancarkan operasi sepanjang MTL.
“Di Terengganu, terdapat sebanyak 500 KRT yang aktif dan dengan jumlah yang ramai, ia dapat membantu melancarkan pihak penyelamat menjalankan operasi selain memberi bantuan daripada semua sudut sepanjang musim tengkujuh ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Sesi Libat Urus Peranan Agensi / Jabatan Dalam Memperkasakan Rukun Tetangga Sebagai Penggerak Komuniti Progresif 2024, di sini hari ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim.
Mohd Alias berkata, setiap ahlli KRT juga bertindak sebagai agen pengantara dalam membantu agensi penyelamat terutama dalam memujuk mangsa banjir yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, KRT adalah komuniti paling dekat dengan penduduk setempat dan ia sangat membantu tugas pasukan penyelamat menjalankan operasi memindahkan mangsa banjir terutama dalam menyelesaikan masalah mangsa banjir yang enggan berpindah ke PPS.
“Keengganan mangsa untuk berpindah ke PPS menjadi satu kesukaran kepada pihak penyelamat dalam menjalankan operasi ketika musim banjir.
“Justeru, kerjasama ahli KRT yang sangat dekat dengan komuniti sangat membantu dalam menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya.
Tambahnya lagi, ahli KRT juga turut memainkan peranan membantu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengendalikan segala urusan di PPS .
Katanya, Skuad Uniti berkenaan juga terbabit membantu agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam melakukan tugas operasi pasca banjir.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.