Oleh: Fatin Hanani Sahimi
PUTRAJAYA: Sempena Sambutan Hari Malaysia, Media Prima Berhad (Media Prima) bersama 1,500 pengunjung meraikan kemuncak kempen Manis Pahit Bersama dengan acara Malaysia Paling Best Piknik dan pelbagai aktiviti menarik.
Bertempat di Taman Botani di sini, acara bermula dengan Bekpes Hot 5km Fun Run seawal jam 7 pagi, bersama penyampai Hot FM sejauh lima kilometer.
Pelbagai acara menarik disediakan antaranya persembahan penyanyi tanah air seperti Faizal Tahir, Shi En, Asyraff Nasir, Zubir Khan, Hasif Upin dan Lan Solo.
Antara lain, cabutan bertuah Wowshop, sesi Meet and Greet bersama artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2024 dan pemberian Nasi lemak dan teh tarik secara percuma oleh TV9.
Pengurus Besar Pemasaran Kumpulan Media Prima Berhad, Junisa Jaafar Sidek berkata, berbeza dari tahun sebelumnya, kempen pada tahun ini mengetengahkan hidangan kegemaran nombor satu rakyat Malaysia iaitu Nasi Lemak.
“Istimewa tahun ini kita mengangkat hidangan kegemaran rakyat Malaysia dan daripada pemilihan undian, makanan yang memperoleh bilangan tertinggi adalah nasi lemak dan teh tarik dan hari ini kita mengagihkan 1000 pek Nasi lemak dan teh tarik sambil boleh berpiknik.
“Negara kita cukup sinonim dengan aktiviti berkelah, jadi ia bersesuaian dengan sambutan Hari Malaysia malah disambut bersama rakyat tanpa mengira bangsa dan budaya,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di sini.
Menurutnya penganjuran tahun ini cukup meriah dengan kira-kira 1000 penyertaan dalam acara larian pagi tadi.
“Alhamdulillah sambutan sejak pagi tadi memang bagus, meskipun hujan lebat mereka tetap menantikan persembahan.
“Tahun ini kita ingin cuba lakukan di Putrajaya kerana setiap hujung minggu, Taman Botani popular dan dikunjungi orang ramai pada Ahad selain mempromosikan TV9 dan ABPBH,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran.
Pengunjung Umie Syafira Mazli,24, yang ditemui berkongsi rasa teruja dengan persembahan daripada penyanyi tanah air yang hadir.
“Saya tiba dari Perlis sekitar subuh tadi setelah hampir 12 jam perjalanan dan terus datang ke sini untuk sertai, sambutan sangat meriah dan sangat berbaloi,” katanya.
Turut mencuri tumpuan Ruselawati Abu Hassan,42, yang hadir mengenakan kostum penembak tepat pada acara larian pagi tadi.
“Pada sambutan hari ini selain dapat berjumpa dengan masyarakat berbilang kaum dan usia, ia juga dapat melahirkan semangat patriotik dan berbangga dengan negara,” ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.