Tumpuan :
Nasional

150 kariah dan belia sertai ibadah korban di masjid

Oleh Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA: Memasuki hari ketiga sambutan Hari Raya Aidiladha, ibadah korban yang cukup sinonim dengannya masih dilaksanakan umat Islam.

Kira kira 150 peserta terdiri daripada tetangga kariah masjid dan penduduk di sekitar Masjid Al-Ghufran, pinggir Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya melaksanakan ibadah korban membabitkan 21 ekor lembu pagi tadi.

Seawal jam 5.30 pagi, peserta telah memulakan aktiviti melapah dan pembahagian daging, selepas aktiviti penyembelihan selesai di Pusat Penyembelihan Serendah awal pagi semalam.

Menurut Timbalan Pengerusi Masjid Al-Ghufran, Kholid Wajadwani, daging korban diagihkan kepada 300 asnaf di sekitar masjid serta turut dimanfaatkan kepada ahli surau orang asli di Gombak.

Timbalan pengerusi Masjid Al-Ghufran, Kholid Wajadwani

“Untuk purata kita ada dalam 60 kilogram (kg) hingga 70 kg bagi seekor, jadi kita ada lebih kurang 1200 KG dibahagikan kepada peserta dan juga asnaf.

“Manakala untuk asnaf kita akan agihkan dalam 60% daripada daging-daging yang akan diagihkan tersebut,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan.

Penganjuran ibadah korban dan gotong royong telah diadakan hampir 30 tahun dan turut disertai seramai 40 belia yang membantu melakukan aktiviti memunggah,dan membantu memotong tulang untuk dibahagikan.

Jelas Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Gufran Faizal Datuk Mohamad Hassan Mukhtar, penganjuran ibadah korban pada tahun ini, cukup meriah dengan pertambahan sukarelawan terdiri daripada kalangan belia yang menyertai.

Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Ghufran, Faizal Datuk Mohamad Hassan Mukhtar

“Kita lihat hampir separuh sukarelawan yang datang pada harini terdiri daripada orang muda, dan ia secara tidak langsung memupuk semangat antara generasi lama dan baharu, umpama satu kesinambungan antara generasi pertama sampai ke hari ini,” ujarnya.

Selepas semua selesai, kariah dan petugas turut menyediakan juadah daripada sebahagian daging korban berkenaan.

Loading...
Terkini