comscore
Tumpuan :
Nasional

150 daripada 740 sistem IT agensi kerajaan tidak diketahui pemilik

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebanyak 150 daripada 740 sistem teknologi maklumat (IT) yang aktif di sebuah agensi kerajaan tidak diketahui pemiliknya.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin mendedahkan, perkara itu diketahui susulan satu daripada sistem tersebut telah diserang penggodam pada bulan lalu.

“Kita tak tahu siapa tuan punya sistem tapi sistem itu hidup. Bila sistem itu hidup ia boleh diserang.

“Bila sistem itu boleh diserang, kalau ia salah satu sistem daripada jaringan (sistem) yang lebih luas, ia boleh memberi kesan dalam jaringan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi rapat umum Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK) 2023, di sini hari ini.

Jelasnya, situasi berkenaan amat mengejutkan dan mendakwa antara punca kepada masalah itu adalah wujud ‘komplot’ antara pegawai kerajaan dengan syarikat vendor IT, yang membolehkan perolehan dilakukan tanpa penelitian.

“Apabila seseorang SUB (Setiausaha Bahagian) masuk bahagian itu, dia ada kawan vendor yang menjual sistem itu dan mereka ‘kautim’ (sogok).

“Jadi tanpa disedari wujudlah sistem berasingan. Akhirnya, kita ada 740 sistem dan daripada jumlah itu, 150 adalah tidak diketahui pemilik,” katanya.

Tambahnya, sistem yang tidak teratur itu turut membuka ruang berlaku rasuah kerana ia mudah dimanipulasi.

Justeru, jelas beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan dasar yang jelas supaya proses perolehan sistem lebih ketat.

Mengulas lanjut, menurut Raja Nurshirwan, sistem keselamatan negara perlu canggih seiring dengan keperluan semasa untuk mengatasi isu ‘counter terrorism’ termasuk pemalsuan wajah (deepfake).

“Sebagai contoh, fatwa yang dikeluarkan oleh ulama tersohor boleh berbeza 180 darjah daripada apa yang sebenarnya (berikutan deepfake).

“Kita perlu mempunyai sistem canggih untuk menangani perkara tersebut, jadi dimanakah Malaysia dalam hal ini?

“Jika diukur pada skala 0 hingga 10, saya akan beri paling baik pun (skala) 2, dan dalam beberapa keadaan, ia boleh jadi (skala) 0. Inilah realiti keselamatan di negara kita,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini