BALIK PULAU: Seramai 15 lelaki warga Bangladesh direman empat hari bagi membantu siasatan kejadian merusuh sehingga seorang lelaki tempatan cedera di tapak pembinaan kawasan perindustrian Bayan Lepas, dekat sini.
Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 25 Januari itu dikeluarkan Majistret, Chia Huey Ting.
Kesemua suspek yang berusia antara 24 hingga 54 tahun tiba di pekarangan mahkamah, 8.20 pagi tadi.
Dalam kejadian 4 petang semalam, difahamkan berlaku perselisihan faham antara penyelia warga Bangladesh dengan penyelia tempatan tapak pembinaan itu sebelum berakhir dengan insiden merusuh dan menyebabkan seorang mangsa lelaki tempatan berusia 30-an cedera di kepala.
Mangsa dilapor stabil selepas mendapat rawatan sebagai pesakit luar di hospital berhampiran.
Kesemua warga Bangladesh itu didapati mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.