comscore
Tumpuan :
Nasional

15 rumah penduduk dan Madrasah As Solihin dinaiki air akibat banjir kilat

Anggota BBP Sik melakukan pemantauan di kawasan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ampang Muda, Belantik.- fFOTO: Ihsan Bomba

SIK: Kira-kira 15 rumah penduduk dan sebuah Madrasah As Solihin di Belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ampang Muda, Belantik, di sini terjejas akibat banjir kilat, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba, Zulkhairi Mat Tanjil, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 8.42 malam tadi.

Beliau berkata, daripada jumlah rumah yang terjejas, hanya lapan keluarga berada dalam rumah manakala sebahagian lagi sedang bercuti berikutan cuti umum esok.

“Di Madrasah As Solihin, terdapat lapan pelajar lelaki dan empat perempuan serta dua kakitangan berada di situ manakala pelajar lain sedang bercuti.

“Banjir kilat melanda malam ini disebabkan hujan lebat berterusan selama dua jam menyebabkan air Sungai Capar, Belantik Dalam melimpah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Anggota BBP Sik melakukan pemantauan di kawasan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ampang Muda, Belantik.- FOTO: Ihsan Bomba

Zulkhairi yang mengetuai operasi itu bersama tujuh anggota BBP Sik berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang menerima panggilan berhubung kejadian itu kemudian mengarahkan pihaknya di BBP Sik segera ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, setibanya di lokasi, didapati 15 rumah kediaman dan Madrasah As Solihin itu terjejas dinaiki air akibat limpahan Sungai Capar.

“Tindakan operasi melakukan pemantauan di sekitar lokasi banjir dan mendapati paras air semakin menurun.

“Tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini setakat ini.

“Bagaimanapun, pihak kami menasihatkan penduduk di kawasan yang terjejas supaya memaklumkan kepada pasukan penyelamat sekiranya kediaman mereka dinaiki air,” katanya.

Zulkhairi berkata, keadaan terkawal pada jam 9.27 malam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini