comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

[VIDEO] 15 ‘rahsia’ di sebalik Anugerah Juara Lagu 38

 

PETALING JAYA: Menyelusuri hampir empat dekad penganjurannya sejak kali pertama pada 1986, acara penuh berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) yang sudah memasuki edisi ke-38 membariskan seramai 12 finalis yang akan bersaing di pentas Axiata Arena pada 3 Mac ini.

Saban tahun, program tahunan ini sentiasa digarapkan dengan elemen baharu dan menarik, sekaligus membawa keterujaan kepada para penonton khususnya buat peminat dan pemain industri muzik tanah air.

Di sebalik kejayaan dan kemegahan acara popular ini, Buletin TV3 menyingkap ‘rahsia’ mengenai Anugerah Juara Lagu 38 (AJL 38) dengan menemu bual Pengurus Projek, Russell Mark Rodrigues dan beberapa kru produksi menerusi segmen khas Di Sebalik Tabir AJL 38.

Russell Mark Rodrigues, Pengurus Projek AJL 38

Fakta Tentang AJL 38 Yang Ramai Tidak Tahu:

1. Jika tahun lepas, AJL 37 mengangkat tema ‘Dimensi Muzik’, tahun 2024 pula menyaksikan ‘Muzikaverse’ dipilih sebagai tema AJL 38.Singkatnya, tema Muzikaverse membawa maksud dunia muzik atau ‘Universe of Music’. Ia juga merujuk kepada kolaborasi yang wujud antara individu-individu penting dalam penciptaan sesebuah lagu merangkumi komposer, penulis lirik dan artis.

2. Bersesuaian dengan tema AJL 38 iaitu Muzikaverse, pihak produksi menjanjikan suatu persembahan pembukaan (opening show) yang penuh ikonik dan belum pernah dibuat dalam sejarah AJL. Buat pertama kalinya, penonton akan didendangkan dengan persembahan pembukaan daripada lagu bukan berbahasa Melayu.

3. Untuk memastikan AJL 38 berjalan lancar, pihak produksi telah ‘berkampung’ selama 10 hari di Axiata Arena bagi melaksanakan kerja-kerja persediaan menjelang malam kemuncak.

4. Persediaan pentas AJL di Axiata Arena dimulakan dengan pemasangan lampu terlebih dahulu, sebelum alatan kamera (Multi-Camera Production) dibawa masuk berserta dengan alatan muzik atau bunyi.

5. Setiap finalis AJL 38 diberi masa antara 2 hingga 3 bulan bagi membuat persediaan atau persiapan persembahan nyanyian mereka menuju ke hari kemuncak. Persiapan ini sebenarnya telah pun bermula seawal seminggu selepas berakhirnya Semi Final Muzik Muzik 38 (SFMM 38) yang berlangsung pada Disember 2023.

6. Setiap finalis AJL 38 diberi peluang sebanyak 2 sesi (3 kali percubaan bagi setiap sesi) untuk membuat pemeriksaan bunyi (sound check), menguji prop, mengenal pasti kedudukan dan juga pemeriksaan cahaya (lighting check) bagi persembahan mereka.

Kumpulan Masdo dan Ziana Zain ketika membuat persiapan AJL 38 di Axiata Arena

7. Penggunaan prop pada AJL kali ini adalah lebih banyak dan besar berbanding sebelum ini. Banyak elemen kejutan daripada penggunaan prop daripada finalis seperti Aina Abdul dan Aisha Retno menanti penonton pada malam kemuncak AJL 38.

Aina Abdul dan Aishah Retno antara 12 finalis AJL 38

8. Aspek pencahayaan semasa persembahan artis adalah sangat penting. Namun, ia bukanlah sesuatu perkara mudah. Untuk AJL 38, hampir 400 biji lampu digunakan dan ia diuruskan oleh 4 orang kru teknikal. Kerja-kerja persiapan pencahayaan bagi AJL 38 telah pun bermula sejak 2 bulan lalu dari hari kemuncak. Kadang kala, susunan lampu yang dicadangkan tidak bersesuai dengan rekaan set. Oleh sebab itu, kerja-kerja pencahayaan ini memerlukan kerjasama daripada setiap kru daripada pelbagai disiplin.

9. Secara keseluruhannya, terdapat 11 kamera akan digunakan dalam AJL 38. Ia merangkumi spider camera, RF dan Jimmy Jib.

Jurukamera memastikan Spider Camera berfungsi dengan baik
Jimmy Jib, antara 11 kamera yang digunakan ketika AJL 38

 

10. Tidak dinafikan, nyanyian finalis berserta iringan muzik orkestra pasti menjanjikan suatu persembahan yang cukup sentimental dan berbeza berbanding iringan rakaman muzik. Bagi penganjuran AJL 38 ini, kumpulan orkestra akan berada di bahagian belakang sebelah kiri pentas bertujuan untuk memberi ruang pentas yang lebih besar kepada para finalis untuk membuat persembahan.

11. AJL 38 juga menampilkan buat pertama kalinya Gernavie Kam Shi Ling iaitu pemain violin dan piano berpengalaman sebagai pengarah muzik (music director). Beliau yang juga isteri kepada penyanyi popular, Hazama bertanggungjawab memimpin kumpulan orkestra pada malam kemuncak nanti.

Gernavie Kam Shi Ling, Pengarah Muzik AJL 38

12. Acara sebesar AJL ini semestinya memerlukan kekuatan tenaga kerja yang ramai. Keseluruhan kru produksi yang terlibat dalam AJL 38 adalah seramai 998 orang termasuk artis dan kru pengiring. Namun, bagi kru produksi dan teknikal sahaja dianggarkan seramai 350 orang.

13. Selepas hampir empat dekad penganjurannya, pemilihan tema dan konsep bagi AJL adalah antara cabaran terbesar dihadapi pihak produksi. Penentuan tema dan konsep yang betul penting bagi memastikan acara yang diadakan ini dapat diterima oleh segenap lapisan masyarakat terutamanya peminat muzik tanah air.

Sebahagian daripada 12 finalis yang mengambil bahagian dalam sesi bertemu peminat di Meet and Greet Paling Ikonik AJL 38 di Pasar Seni, Kuala Lumpur

14. Berlandaskan prinsip AJL ‘Paling Ikonik’, pihak produksi juga tidak mengadakan sidang media bagi AJL tahun ini. Sebaliknya, produksi memilih pendekatan lain iaitu dengan mengadakan ‘roadshow’ bersama 12 finalis dan muat naik kandungan AJL 38 di platform digital serta media sosial.

Finalis AJL 38, Shiha Zikir bermesra dengan peminat pada acara Meet and Greet Paling Ikonik AJL 38 di Pasar Seni, Kuala Lumpur

15. Masihkah anda ingat dengan persembahan tergantung dan terbalik oleh penyanyi Naim Daniel menerusi lagu ‘Mainan’ pada AJL 37? Tidak dinafikan, setiap finalis tampil dengan banyak idea menarik bagi persembahan mereka. Namun, aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan penganjur. Pihak produksi akan memberi panduan dan nasihat sebaiknya kepada setiap finalis walaupun mereka masih boleh membawa elemen kejutan di atas pentas seperti air, api, ais dan sebagainya.

Finalis AJL 37, Naim Daniel ketika membuat persembahan secara terbalik dan tergantung yang memukau penonton, tahun lepas

Kesemua lagu yang berjaya mara telah diadili oleh barisan juri profesional diketuai Datuk Mokhzani Ismail LY, Datuk Wah Idris, Cat Farish, Helen Yap dan Azmeer.

 

AJL 38 dijadual berlangsung pada 3 Mac 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Program ini juga boleh ditonton secara langsung di TV3 menerusi saluran 103 di MyFreeview atau strim LIVE HD eksklusif di aplikasi Tonton, bermula pukul 9 malam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini