comscore
Tumpuan :
Nasional

15 pemilik akaun terbabit jenayah siber dicekup

KULIM: Polis menahan 15 pemilik akaun yang terbabit dalam jenayah siber dalam serbuan di tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Penahanan itu hasil serbuan yang dilakukan pada 17 Jun lalu hingga semalam.

Suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim berdasarkan maklumat yang diterima.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, Ops Mule ini dilancarkan dalam usaha menangkap pemilik akaun yang terlibat dalam jenayah siber.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan dipercayai terbabit dalam kes-kes yang dilaporkan pada tahun 2021 sehingga tahun ini.

“Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kulim untuk dituduh di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 bermula 18 Jun 2023 hingga hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, usaha memerangi jenayah siber terus dipertingkatkan melalui operasi pembanterasan secara berterusan.

Menurutnya, polis khususnya BSJK IPD Kulim sentiasa berusaha mengesan pelbagai bentuk muslihat sindiket penipuan jual beli, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, tipu tawaran pekerjaan sambilan, tipu pakej pelancongan, Macau Scam dan parcel scam yang kesemuanya dilakukan menerusi media sosial.

Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan yang semakin berleluasa di negara ini.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk menerima wang hasil daripada aktiviti jenayah dan individu atau syarikat yang terbabit dalam perkara ini akan disiasat sebagai rakan sejenayah yang bersubahat.

“Polis memerlukan kerjasama serta pembabitan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah siber yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.

Loading...
Terkini