MELAKA: Sebanyak 15 pasar raya termasuk pasar raya besar di Melaka menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus bagi barangan keperluan menerusi Program Jualan RAHMAH.
Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, pada permulaan program ini ia membabitkan lapan pasar raya termasuk pasar raya besar sebelum tujuh lagi premis akan menyusul dalam masa terdekat ini.
“Bermula hari ini, lapan pasar raya termasuk pasar raya besar di Melaka melaksanakan program Jualan RAHMAH ini. Ia membabitkan 24 lokasi secara serentak.
“Menerusi program jualan ini, terdapat pengurangan harga bagi barangan terpilih sehingga 30 peratus lebih murah daripada harga biasa yang dijual,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Jualan RAHMAH semua pasaraya dan pasaraya besar secara serentak di Melaka, yang turut dihadiri Pengarah KPDN Melaka Norena Jaafar, di Aeon Bandaraya, hari ini.
Hee Sem berkata, program Jualan RAHMAH ini akan berlangsung sepanjang tahun dengan setiap pasar raya yang terbabit akan menawarkan barangan yang berbeza.
“Setiap pasar raya akan menyenaraikan antara 11 hingga 13 barangan keperluan yang akan ditawarkan di premis mereka dan setiap dua minggu barangan ini akan berubah-ubah.
“Ini kerana, kita mahukan pengguna ada pilihan dalam membuat pembelian barangan keperluan. Antara barangan yang ditawarkan adalah minyak masak botol (5KG), pelbagai jenis sayuran, ikan bilis, tepung gandum dan cili kering.” katanya.
Ujarnya, selain 15 pasar raya ini, KPDN Melaka turut mengalu-alukan pengusaha kedai runcit atau pasar mini yang berminat untuk turut serta dibawah program Jualan RAHMAH ini.
“Program jualan ini adalah untukmembantu golongan kurang berkemampuan terutamanya B40 untuk membeli barangan keperluan, jadi kita mengalu-alukan kepada semua yang berminat untuk sertai tetapi mereka perlu rujuk dengan KPDN terlebih dahulu.
“Selain itu, meskipun jualan barangan Jualan RAHMAH ini terbuka kepada semua pengunjung pasaraya namun saya harap keutamaan diberikankepada B40 untuk membuat pembelian,” katanya