
SHAH ALAM: Satu pergaduhan membabitkan 15 lelaki dipercayai berlaku ketika pertandingan F3 Strike Combat Tournament 2025 di Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 2.11 petang daripada seorang wakil penganjur.
Katanya, siasatan mendapati, pergaduhan bermula di dalam dewan sebelum berlarutan hingga ke luar dewan.
“Punca kejadian disebabkan pertengkaran di antara dua peserta yang dibatalkan penyertaan oleh penganjur kerana pihak lawan tidak hadir dan sakit.
“Kedua-dua peserta ini kemudiannya bertengkar di antara mereka dan mengajak untuk berlawan di atas gelanggang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Iqbal berkata, provokasi kedua-dua belah pihak menyebabkan keadaan semakin tidak terkawal sehingga penyokong masing-masing bergaduh serta membaling kerusi.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian pada jam 5.20 petang semalam.
“Seorang daripada suspek berusia 45 tahun memiliki empat rekod jenayah, manakala seorang lagi berusia 40 tahun mempunyai lima rekod jenayah.
“Kedua-duanya disahkan negatif dadah selepas ujian air kencing,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek direman selama dua hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Nawinthan di talian 016-2052314.
Terdahulu, tular beberapa gambar serta video berdurasi 1.52 minit itu, kelihatan berlaku perang mulut selain beberapa individu bergaduh, bertumbuk, membaling dan memukul menggunakan kerusi di dewan berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.