Tumpuan :
Nasional

15 lelaki tempatan dicekup seleweng diesel Petronas RM13.5 juta – Polis

KUALA LUMPUR: Sindiket menyeleweng minyak diesel milik Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) di Pantai Timur membabitkan kerugian RM13.5 juta tumpas dengan penahanan 15 lelaki tempatan.

Hasil risikan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM dan siasatan dalaman oleh Petronas mengesyaki penyelewengan itu berlaku sejak tahun 2021.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata satu operasi bersepadu dijalankan, kelmarin di sekitar ibu kota, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu bagi mengesan suspek.

Beliau berkata, hasil operasi dijalankan itu, polis berjaya menahan 15 lelaki tempatan berusia lingkungan 29 hingga 52 tahun yang dipercayai terbabit sindiket itu.

“Kita turut merampas dua kenderaan, 16 telefon bimbit, 17 set dokumen, 16 pek sim kad,dua kad syarikat dan dua unit pengukur kedalaman tangki minyak.

“Selain itu,satu ‘gasoline gauging paste’, dua komputer riba, tiga cop pelbagai syarikat dan masing-masing satu tablet, kad pelaut dan mesin kira turut dirampas,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Ramli berkata, berdasarkan siasatan, kegiatan penyelewengan yang berlaku sejak Januari 2021 hingga Februari mengakibatkan kerugian dianggarkan RM13.5 juta kepada pihak Petronas.

“Sindiket yang dianggota individu daripada pelbagai kelas jawatan dalam bidang perkapalan ini dikesan menjual semula baki minyak diesel yang diperuntukkan kepada setiap kapal logistik marin kepada pembeli secara haram.

“Harga jualan yang ditawarkan adalah sekitar RM1.80 hingga RM1.98 per liter dan hasil jualan dibahagikan antara kru yang bertugas pada tempoh masa terbabit,” katanya.

Ramli berkata, kesemua suspek kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan PDRM masih meneruskan siasatan untuk menilai sejauh mana rangkaian sindiket ini dan mengenalpasti pihak yang terbabit.

Loading...
Terkini