KUALA LUMPUR: Seramai 15 penunggang basikal lajak ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Basikal Lajak dekat Jalan PJS 1 hingga Jalan PJS 5, Petaling Jaya pada 1 dan 3 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata sepanjang operasi itu, seramai 52 penunggang basikal lajak diperiksa membabitkan kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 14 tahun.
“Pihak polis menahan 15 penunggang basikal lajak dan menyita basikal milik mereka mengikut Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membolehkan penunggang basikal lajak ditangkap tanpa waran seperti diperuntukkan Seksyen 112(1)(a) akta sama.
“Seterusnya, ibu bapa dan penjaga mereka dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan diberi peringatan mengenai tanggungjawab mengawasi dan memastikan keselamatan anak masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, ibu bapa kepada anak yang terbabit dalam kegiatan basikal lajak hingga membahayakan diri dan pengguna jalan raya boleh dikenakan denda tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001.
Mengulas lanjut, beliau berkata dalam operasi dikendalikan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Petaling Jaya itu, sebanyak 11 saman POL 257 dikeluarkan mengikut Kaedah 42(1) LN 165/59.
“Semua pengguna jalanraya terutamanya kepada penunggang basikal diingatkan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalanraya yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Tambah Mohamad Fakhrudin, operasi penguatkuasaan lalu lintas terhadap basikal lajak akan dijalankan secara berterusan bagi mendidik masyarakat mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas.