KOTA KINABALU: Seramai 149 mangsa banjir ditempatkan semula di pusat pemindahan sementara (PPS) Selagon di Beaufort selepas air Sungai Padas kembali melimpahi tebing dan menenggelami kampung sekitarnya hari ini.
PPS terbabit sebelum ini ditutup pada 2 Februari lalu selepas dibuka pada 27 Januari berikutan banjir yang menenggelami beberapa kampung di daerah berkenaan ketika itu dilaporkan sudah pulih.
Bagaimanapun, banjir gelombang kedua kembali melanda daerah itu hari ini dipercayai kesan daripada hujan lebat berterusan di hulu Sungai Padas, khususnya di Keningau dan Tambunan yang turut berdepan bencana banjir sejak malam tadi.
Pembukaan semula PPS Selagon diisytiharkan Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun, berkuat kuasa pada jam 1 tengah hari tadi selepas pemeriksaan kawasan dan rumah penduduk terjejas bencana (PTB) didapati tidak selamat untuk didiami.
Pembukaan semula PPS Selagon di Beaufort menjadikan empat PPS mangsa banjir beroperasi di Sabah setakat malam ini dengan dua lagi di Kinabatangan dan satu di Keningau.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (JPBN), di Keningau, PPS Dewan Koningau, Majlis Daerah Keningau (MDK) setakat jam 8 malam ini menempatkan seramai 77 mangsa.
Jumlah itu meningkat berbanding seramai 66 orang pagi tadi.
Di Kinabatangan, dua PPS di daerah itu kekal menempatkan seramai 253 mangsa, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir di Beaufort, Keningau dan Kinabatangan seramai 479 orang setakat jam 8 malam ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.