
Oleh Nurul Amalina Zainudin
PELABUHAN KLANG: Sebanyak 86,529 kes kemalangan dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sepanjang 2024 dengan 66,574 daripadanya disahkan sebagai bencana kerja.
Menerusi program Rawatan Bencana Kerja (RBK), pencarum yang terlibat dengan kemalangan di tempat kerja boleh mendapatkan rawatan tanpa mendahulukan wang sendiri di 1,448 klinik panel PERKESO yang berdaftar.
Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pemerkasaan proses ini terpakai untuk faedah perubatan buat pencarum di bawah Skim Bencana Kerja mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
“Kita minta majikan-majikan lain pun tolong tampil ke hadapan, PERKESO sentiasa ada untuk bantu dan bekerjasama, jadi gunakanlah peluang ini untuk bekerjasama dengan kita,” ujarnya pada sidang media selepas menghadiri program turun padang Pekerja Selamat dan Sihat di Pelabuhan Klang, hari ini.
Program melibatkan 700 pekerja itu meliputi pengisian berbentuk pameran Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), SEHATi, Pameran Vision Zero, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) serta Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pencarum boleh menyemak sendiri kelayakan RBK menerusi platform SEHATi yang boleh diakses secara dalam talian, selain mendapatkan senarai klinik panel PERKESO dan membuat janji temu untuk rawatan susulan.
“Mulai hari ini, sesiapa yang mengalami kemalangan (di tempat kerja) boleh terus ke klinik panel, tidak perlu bayar, hanya tunjuk kad pengenalan dan apabila sudah disahkan sebagai pencarum, mereka akan dapat rawatan secara percuma, dari segi proses bayaran, klinik akan terus tuntut daripada PERKESO.
“Rawatan tidak ada had, contohnya kalau mereka alami kemalangan yang perlukan pembedahan implan, implan pun ditanggung, rawatan untuk pembedahan juga ditanggung.
“Kalau mereka pergi ke hospital kerajaan, mereka layak sepenuhnya kelas kedua, mereka layak keseluruhan dari segi rawatan perubatan, pembedahan implan, pemulihan dan sebagainya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.