Tumpuan :
Nasional

141 pegawai dan anggota bomba jadi mangsa banjir

KOTA BHARU: Seramai 141 pegawai dan anggota bomba seluruh negara direkodkan sebagai mangsa banjir sehingga kini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jumlah itu membabitkan mereka yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta kediaman yang turut ditenggelami air dan pihaknya akan terus memantau jumlah itu dari semasa ke semasa.

“Situasi banjir agak mencabar dan anggota bomba perlu mengutamakan penugasan walaupun diri sendiri atau keluarga sedang berdepan dengan banjir.

“Di pihak kita, akan pastikan kebajikan mereka terjaga dan sedikit sumbangan akan diberikan bagi meringankan beban,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan di Tunjong, di sini, hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, dari segi keanggotaan bomba untuk penugasan banjir, bilangannya masih mencukupi dan terkawal.

Beliau berkata, walaupun operasi menyelamat tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Selangor masih belum berakhir disusuli ramalan kejadian banjir kilat di enam negeri nanti, penugasan masih terkawal dijalankan oleh 14,800 pegawai serta anggota di seluruh negara.

“Buat masa kini, kita menguruskan dua bencana besar iaitu banjir dan tanah runtuh di Batang Kali yang memasuki hari ketujuh misi menyelamat.

“Keanggotaan sememangnya mencukupi pada masa yang sama jika ada keperluan penambahan apa-apa termasuk aset di sesuatu kawasan, kita masih ada agensi penguatkuasaan lain yang turut sama dalam penugasan,” katanya.

Terdahulu beliau hadir mendengar taklimat mengenai situasi banjir yang berlaku di Kelantan dan sempat membuat tinjauan banjir akibat limpahanair dari Sungai Golok di sekitar Pengkalan Kubor, Tumpat dengan menaiki bot penyelamat.

Dalam tinjauan itu, beliau sempat menyerahkan sebahagian daripada 100 kotak yang mengandungi barang makanan serta keperluan asas kepada mangsa banjir yang tidak berpindah.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, Timbalan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Azhar Ahmad dan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Datuk Nor Hisham Mohamad dan Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin.

Loading...
Terkini