KUALA LUMPUR: Sebanyak 141 daripada 436 klinik dan fasiliti kesihatan daif telah siap dinaik taraf setakat September ini, menurut Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Beliau memberitahu Dewan Rakyat, bakinya, 295 projek lagi dalam fasa pelaksanaan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Lima klinik daif di Kelantan berwajah baharu
“Bagi Sarawak, sebanyak 14 klinik daripada 36 klinik siap dibaiki dan dinaik taraf manakala sebanyak tiga klinik daripada 23 klinik disiapkan di Sabah.
“Selain itu, sembilan hospital di Sabah dan 11 hospital di Sarawak akan dinaik taraf perkhidmatan kepakarannya termasuk pemerkasaan bagi hospital berpakar sedia ada,” katanya.
Artikel berkaitan: KKM dalam usaha tambah baik klinik daif, peralatan uzur
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga memulakan Kajian Jurang dan Penawaran Keperluan Fasiliti, Peralatan dan Sumber Manusia untuk kesihatan pada bulan ini yang dijangka siap pada November 2024.
“Kajian ini akan membantu KKM merancang keperluan sumber kesihatan di seluruh Malaysia dengan lebih tepat dan mencukupi bagi pembangunan fasiliti kesihatan, peralatan dan sumber manusia, berasaskan bukti keperluan penduduk pada masa kini dan akan datang,” katanya.
Sebelum ini, KKM mengenal pasti 1,200 klinik kesihatan daif di seluruh negara.
Kerja baik pulih dilakukan secara berperingkat dengan tahun ini membabitkan 436 klinik diikuti lebih 300 tahun depan.