Tumpuan :
Nasional

14 sungai di Johor paling tercemar, dipenuhi sampah-sarap

FOTO: Ihsan MB Johor

JOHOR BAHRU: 14 sungai di Johor dipenuhi longgokan sampah-sarap, sisa buangan dan bau busuk dari pencemaran bahan kimia dikategori sebagai sungai paling tercemar.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, meluahkan rasa kecewa melihat keadaan sungai berkenaan dipenuhi dengan sampah dan berbau busuk.

“Sungai tercemar itu Sungai Kempas, Sungai Buluh, Sungai Tampoi dan Sungai Pandan.

“Hari ini, saya turun padang untuk melihat sendiri keadaan beberapa sungai yang tercemar.

“Saya berasa sangat kecewa melihat keadaan sungai yang dipenuhi dengan longgokan sampah sarap, sisa buangan dan bau busuk dari pencemaran bahan kimia.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau keadaan beberapa sungai di Johor Bahru. – FOTO: Ihsan MB Johor

“Saya minta pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan untuk mengadakan satu ‘task force’ dan mewujudkan rangka kerja dalam menangani isu sungai tercemar di Johor ini pada kadar segera,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menggesa kepada semua Bangsa Johor untuk sama-sama menjalankan tanggungjawab sosial serta bekerjasama erat dengan kerajaan negeri dalam menjaga kebersihan dan kesihatan sejagat.

“Saya yakin dengan adanya kerjasama yang erat daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan Pusat, sungai-sungai di Johor ini pasti dapat dibersihkan, sekali gus dapat merealisasikan agenda Johor Bersih menjelang tahun 2030,” katanya.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau keadaan beberapa sungai di Johor Bahru. – FOTO: Ihsan MB Johor

Pada 21 Oktober lalu, akhbar ini melaporkan Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar mencadangkan supaya suatu Pelan Tindakan Pencegahan, Pencemaran dan Pembersihan Sungai perlu diwujudkan di setiap negeri bagi menangani isu pencemaran sungai yang tidak berkesudahan di negara ini.

Langkah itu perlu bagi memastikan isu pencemaran sungai negara ini dapat dikendalikan dengan berkesan sekali gus memastikan ia dapat dihentikan.

Setakat tahun lalu, katanya, terdapat 29 sungai di Malaysia tercemar teruk dan diklasifikasikan sebagai Kelas Empat dan Lima berpunca daripada pelbagai aktiviti industri, kumbahan, penternakan serta sikap masyarakat membuang sampah-sarap merata-rata.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini