Oleh: Baharuddin Mohamed
MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan 14 saman terhadap warga asing yang memandu kereta dan menunggang motosikal tanpa lesen dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), hari ini.
Dalam operasi selama dua jam yang berakhir 12 tengah hari itu, JPJ turut menyita lima kenderaan dipandu warga asing.
Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata, daripada jumlah yang disita itu, empat daripadanya adalah motosikal manakala sebuah lagi adalah kereta.
“Anggota penguat kuasa berpakaian preman mengeluarkan sebanyak 14 notis saman iaitu notis arah periksa, satu notis larangan penggunaan kenderaan iaitu larangan penggunaan kenderaan dalam tempoh 10 hari, satu notis arah periksa kenderaan Seksyen 61(1) dan lima notis penyitaan kenderaan di bawah Seksyen 64(1).
“Semua pemandu yang ditahan terdiri daripada dua warganegara Bangladesh, empat lelaki Rohingya yang masing-masing tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Muhammad Firdaus, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan warga asing tidak mempunyai lesen, memandu atau menunggang motosikal.
“Ada pemandu warga asing menyatakan bahawa dia pinjam motosikal kawan untuk ke kedai beli barang.
“Kenderaan yang dipandu warga asing itu akan kita sita dan pemilik kenderaan diambil tindakan membenarkan memandu kenderaan tanpa lesen atau tanpa lesen kenderaan motor (LKM) atau kedua-dua jika berkaitan.
“Pemilik kenderaan yang berbuat demikian akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ujarnya, operasi seumpama itu akan dilakukan secara mengejut dan berkala dari semasa ke semasa.
Tambahnya, operasi yang bermula jam 10 pagi itu adalah yang pertama difokuskan kepada pemandu dan penunggang warga asing.