Tumpuan :
Nasional

14 pelajar Malaysia terkesan dengan insiden kebakaran di Los Angeles – KPT

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan sejumlah 14 pelajar Malaysia terkesan dengan insiden kebakaran di Los Angeles, Amerika syarikat (AS).

KPT dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua pelajar terbabit merupakan penuntut di University of California (UCLA) dan sudah diberikan bantuan, serta rangka pelan evakuasi sekiranya diperlukan.

“Melalui Pejabat Education Malaysia Los Angeles (EMLA), KPT terus memantau situasi semasa dan telah melaksanakan inisiatif pengesanan pelajar. Setakat ini, seramai 14 pelajar dari University of California, Los Angeles (UCLA) telah terkesan kerana kediaman mereka berada berhampiran dengan lokasi kejadian.

“KPT bersama Konsulat Jeneral (CG) Los Angeles juga bersetuju untuk memberikan bantuan serta merangka pelan evakuasi sekiranya diperlukan, dengan penempatan pelajar di rumah pegawai sebagai tempat perlindungan sementara,” ujarnya.

Bagaimanapun, KPT berkata setakat ini masih tiada arahan evakuasi yang dikeluarkan oleh pihak UCLA.

Tegasnya lagi, para pelajar terjejas kini berada dalam keadaan yang baik dan akan terus tinggal di kediaman masing-masing sehingga menerima arahan selanjutnya.

“Kami akan terus memantau perkembangan ini dan memastikan keselamatan pelajar Malaysia sentiasa menjadi keutamaan,” ujarnya.

Terdahulu, kebakaran Palisades Fire di Los Angeles, yang dianggap sebagai salah satu kebakaran terburuk dalam sejarah bandar itu, telah memaksa kira-kira 180,000 penduduk berpindah, manakala 200,000 lagi menerima amaran evakuasi.

Setakat ini, tragedi tersebut telah meragut 11 nyawa, menjadikannya salah satu bencana paling dahsyat di California.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini