SEREMBAN: 14 lelaki yang sedang leka bermain judi holo ditahan polis dalam serbuan dilakukan di sebuah rumah dekat Taman Seri Binjai, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, serbuan pada 12 tengah malam itu dilakukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan menahan kesemua suspek yang berusia 34 hingga 62 tahun.
“Pihak polis turut merampas meja yang mempunyai lukisan perjudian holo, dua dadu, satu piring seramik, satu mangkuk seramik, 12 kerusi serta rampasan wang tunai berjumlah RM19,168.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan kesemua tangkapan dibenarkan tahanan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.