
JOHOR BAHRU: Seramai 14 individu ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes merusuh dan khianat di hadapan Sport Hub, Jalan Austin Heights, di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan perkembangan itu, di sini, sebentar tadi.
“Semua lelaki warga tempatan berusia 19 hingga 46 tahun itu ditahan oleh Bahagian D7 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dalam operasi jam 12.55 tengah malam hingga 3 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Raub berkata dalam kejadian jam 1.30 pagi semalam, mangsa seorang lelaki warga tempatan berusia 20 tahun berada dalam kenderaannya jenis pacuan empat roda bersendirian di hadapan pusat sukan itu, didatangi sekumpulan individu yang kemudian menyerang dan merosakkan kenderaannya itu.
Katanya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di bahagian siku kanan dan tapak tangan kiri kesan terkena serpihan kaca.
“Hasil semakan rekod lampau mendapati 10 daripada suspek mempunyai pelbagai rekod berkaitan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Empat suspek pula tiada sebarang rekod jenayah dan semakan lanjut juga mendapati semua suspek berkenaan tidak dikehendaki polis,” katanya.
Raub berkata hasil saringan ujian air kencing ke atas semua suspek juga didapati negatif dadah.
Katanya, semua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerugian atau kerosakan harta benda.
“Kes juga disiasat dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan senjata atau objek berbahaya,” katanya.
Raub menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.