comscore
Tumpuan :
Nasional

14 bakat muda TVET lanjut pengajian ke China

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 orang bakat muda berkelulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 bidang Teknologi Automotif berangkat ke China hari ini bagi melanjutkan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi inisiatif Malaysia-China Institute (MCI).

Ketua Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Mohammad Rizan Hassan dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua bakat muda itu akan melanjutkan latihan TVET di peringkat Diploma Teknologi Pemeriksaan dan Penyelenggaraan Automatif.

Katanya, latihan tersebut turut memfokus kepada kemahiran kenderaan elektrik hibrid (HEV), kenderaan elektrik bateri (BEV), kenderaan elektrik hibrid ‘plug-in’ (PHEV) dan kenderaan elektrik sel bahan bakar (FCEV).

“MCI digerakkan secara bersama oleh Belia Mahir, Tang International Education Group China dengan sokongan dan kerjasama institusi TVET dan industri dari China. Kumpulan pelajar ini akan menjalani latihan selama satu tahun secara sepenuh masa dan bertempat di Tangshan Polytechnic University.

“Mereka mendapat penajaan penuh berserta elaun sara diri dengan mengguna pakai pendekatan latihan Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) melibatkan beberapa industri automotif terkemuka China sepanjang latihan,” katanya.

Mohammad Rizan berkata meskipun semua yang terpilih tidak mempunyai latar belakang akademik yang baik atau tidak menamatkan persekolahan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), inisiatif ini telah membuktikan bahawa pensijilan SKM mampu memberi jaminan masa hadapan yang baik termasuk lanjutan pengajian ke luar negara.

“Belia Mahir juga berkeyakinan akan lebih ramai lagi bakat muda TVET tempatan bakal melanjutkan latihan di China pada 2025-2026.

“Ia bersandarkan kepada penglibatan sebanyak 1,776 orang pelajar TVET yang telah menjalani latihan jangka masa pendek antara dua minggu hingga tiga bulan dalam program Malaysia-China Youth TVET Training (MCYTT) yang berlangsung sejak Julai 2023 hingga kini,” katanya.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini