Tumpuan :
Nasional

137 laporan polis dibuat terhadap Hejira Travel, kerugian cecah RM2.94 juta

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yooser

KUALA LUMPUR: Sebanyak 137 laporan polis dibuat ke atas syarikat Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd setakat hari ini, membabitkan kerugian dianggarkan melebihi RM2.94 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yooser berkata, daripada jumlah laporan itu, pihaknya sudah membuka 13 kertas siasatan.

“Laporan diterima di seluruh membabitkan 46 di Selangor, Terengganu (13), Negeri Sembilan (15), Kuala Lumpur (10), Kelantan (20), Pahang (4), Sarawak (1), Johor (10) dan Melaka (4).

“Selain itu, terdapat satu laporan di Sabah, Kedah (6), Perlis (1), Pulau Pinang (5), Perak (1),” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurutnya, jumlah kerugian tertinggi dicatatkan di Kelantan mencecah RM908,120, diikuti Selangor (RM678,805), Negeri Sembilan (RM332,880), Terengganu (RM253,710), dan Johor (RM184,170).

Terdahulu media melaporkan, polis sudah menahan lapan individu termasuk pasangan suami isteri yang juga pemilik agensi pelancongan, bagi membantu siasatan kes penipuan pakej umrah.

Pengurus syarikat yang dikenali sebagai Mohd Syahril dilapor berkata, perkara itu bukan disengajakan kerana pihaknya menerima pembatalan hotel di saat akhir dan juga penambahan harga yang tinggi.

Menurutnya, disebabkan itu, syarikat mengambil langkah untuk menunda penerbangan melalui kumpulan lebih kecil supaya penginapan ditempah dapat menampung jumlah ditetapkan.

Susulan itu, seramai 150 jemaah terkandas yang menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan berkenaan, diberi peluang kedua untuk menunaikan umrah bersama Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini