Tumpuan :
Nasional

136 kanak-kanak ada kaitan dengan GISBH masih belum dituntut keluarga – Nancy

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri.

KUALA LUMPUR: Seramai 136 kanak-kanak GISB Holdings (GISBH) yang masih belum dituntut keluarga, kini ditempatkan di sembilan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, mereka ditempatkan di institusi itu mengikut Seksyen 25 (2) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

 

Menurutnya, kanak-kanak yang masih di institusi JKM sudah dikenal pasti identiti, dan dalam proses menunggu perintah interim untuk serahan keluarga mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 atau Orang Layak Dan Sesuai (OYLS) mengikut Seksyen 30(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Sekiranya masih belum dituntut, JKM akan mendapatkan perintah tetap untuk kemasukan ke institusi dan menjalani program di institusi sebagaimana yang dirancangkan oleh pihak jabatan bersama-sama agensi yang berkaitan seperti Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi lain-lain,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan lebih 100 kanak-kanak GISBH yang belum dituntut keluarga masih mengikuti modul pemulihan khas yang dilaksanakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pengerusi Mais, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, kesemua kanak-kanak itu masih ditempatkan di rumah kebajikan seliaan JKM di ibu negara.

Katanya, masih terdapat sebahagian daripada kanak-kanak itu belum dituntut keluarga dan dalam proses pengesahan identiti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini