Tumpuan :
Nasional

13 rumah musnah dalam kebakaran di Tanjung Dawai

Oleh: Selwam Arjunan

SUNGAI PETANI: Sebanyak 13 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung KEDA dekat Tanjung Dawai, di sini, pagi tadi.

Seorang penghuni dilaporkan mengalami kecederaan dengan kesan melecur di tangan dan kaki sebelum berjaya diselamatkan. Bagaimanapun, tiada kehilangan nyawa dilaporkan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Azhar Mohamad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.28 pagi.

Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan tiba di lokasi pada jam 7.53 pagi.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan 13 rumah Kelas A bersaiz 18 x 30 kaki persegi. Anggaran kemusnahan adalah 80 peratus.

“Seorang mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan dengan kesan melecur di kaki dan tangan. Dia telah diselamatkan dan dihantar ke hospital oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pos kawalan bomba juga diaktifkan di kawasan terbabit bagi mengawal situasi.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.12 pagi dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani serta Pasukan Bomba Sukarela.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini