Tumpuan :
Nasional

13 pelajar sekolah agama di Johor keracunan makanan

Foto hiasan

ISKANDAR PUTERI: Seramai 13 murid Sekolah Rendah Agama Bersepadu Muar, mengalami keracunan makanan selepas makan di kantin sekolah berkenaan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, berkata pelajar berkenaan mengalami simptom sakit perut sebelum dihantar ke klinik serta hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan.

“Seramai 13 pelajar yang mengalami keracunan makanan itu dari Darjah Satu sehingga Darjah Enam sekolah berkenaan dan telah menerima rawatan di klinik dan hospital kerajaan termasuk dua orang di hospital swasta.

“Mereka tidak mengalami gejala yang teruk dan tiada yang dimasukkan ke wad. Masing-masing pulang selepas mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Sultan Ismail, hari ini.

Susulan itu, Tian Soon berkata, Pejabat Kesihatan Daerah sudah mengarahkan kantin sekolah berkenaan ditutup sementara untuk kerja-kerja pembersihan selama dua minggu.

Pegawai kesihatan daerah juga sudah melakukan pemeriksaan di kantin sekolah berkenaan pagi tadi dengan sampel makanan diambil sebelum dihantar ke makmal untuk ujian.

“Keputusan sampel makanan kantin berkenaan akan diketahui dalam masa seminggu.

“Selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan di kantin sekolah berkenaan, pegawai kesihatan daerah akan membuat pemeriksaan susulan dan sekiranya berpuas hati akan membenarkan kantin terbabit beroperasi lebih awal,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini