comscore
Tumpuan :
Nasional

13 pelajar Orang Asli cedera ringan, kenderaan alami masalah brek terbalik

FOTO: Ihsan awam

GUA MUSANG: Tindakan pantas 13 pelajar Orang Asli Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya, di sini, melompat daripada kenderaan pacuan empat roda yang mengalami masalah brek menyelamatkan mereka daripada cedera parah.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan berkata, dalam kejadian pada Khamis lalu, pacuan empat roda yang membawa pelajar Orang Asli pulang ke Pos Simpor sempena cuti Aidiladha terbalik apabila kenderaan itu mengalami pam brek yang pecah.

“Kenderaan pacuan empat roda yang membawa pelajar itu dilaporkan hilang kawalan akibat daripada pam brek yang pecah dan menyebabkan kenderaan tersebut terbalik di Bukit Setol, laluan menuju ke Pos Simpor.

“Semua pelajar hanya mengalami kecederaan ringan. Tindakan pantas pelajar yang melompat keluar dari kenderaan sebelum ia terbalik menyelamatkan mereka daripada kecederaan serius,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

FOTO: Ihsan awam

Beliau berkata sejurus menerima makluman kejadian, pihak segera menghantar kenderaan syarikat kontraktor kesihatan bagi membawa keluar pesakit untuk menerima rawatan susulan di Klinik Kesihatan Kuala Betis.

“Kenderaan kontrak kesihatan segera dihantar ke lokasi kejadian untuk membawa pelajar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Semua pelajar menerima rawatan perubatan dan tiada kecederaan serius yang dilaporkan. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan bantuan segera kepada pelajar,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Simpor, Jamil Gabon berkata, dia berterima kepada pihak JAKOA yang bertindak pantas membawa pelajar ke klinik kesihatan untuk menerima rawatan.

“Cuma apa yang kami harapkan kenderaan yang akan digunakan sentiasa diselenggara dan berada dalam keadaan baik sebelum mengambil anak-anak untuk di hantar atau balik dari sekolah kerana ini membabitkan keselamatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini