ISKANDAR PUTERI: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sudah mengambil sampel makanan yang di kantin Sekolah Rendah Agama Bersepadu Muar, berikutan insiden keracunan makanan membabitkan 13 pelajar pada 27 November lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata beberapa sampel makanan yang diambil termasuk bubur.
“Keputusan sampel makanan dijangka akan diperoleh dalam minggu ini.
“Semua murid yang terbabit berada dalam keadaan stabil ketika ini. Tiada murid yang ditempatkan di wad, mereka hanya mendapatkan rawatan pesakit luar dan pulang ke rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Sebelum ini, Ling dilaporkan berkata seramai 13 murid sekolah itu yang terdiri daripada murid darjah satu hingga darjah enam telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di klinik, hospital dan hospital swasta, selepas makan di kantin sekolah berkenaan.
Pejabat Kesihatan Daerah sudah mengarahkan kantin sekolah berkenaan ditutup sementara untuk kerja pembersihan selama dua minggu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.