
Oleh: Selwam Arjunan
SIK: 13 motosikal hangus, manakala sebuah kedai tayar musnah dalam kebakaran dua premis perniagaan di Simpang Tiga Jeniang, di sini, awal pagi tadi.
Turut terbakar, jentera berat dan kontena yang diletakkan di luar premis.
Komander Operasi Kanan Zon 2 Sungai Petani, Penguasa Kanan Bomba II Johari Bar Azwar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.18 pagi.
Jentera bomba pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak tiba di lokasi 12 minit kemudian, dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Jeniang dan PBS Bukit Selambau.
“Kebakaran melibatkan sebuah kedai tayar dua dengan anggaran kemusnahan 95 peratus daripada keseluruhan bangunan.
“Manakala sebuah kedai servis motorsikal satu tingkat musnah 30 peratus. Kebakaran turut melibatkan 13 buah motorsikal pelbagai jenis dengan anggaran kerosakan 85 peratus.
“Kebakaran turut melibatkan dua buah forklift dan dua buah kontena yang berada di tepi bangunan kedai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kebakaran tidak membabitkan mangsa.
Kebakaran dapat dikawal pada jam 3.49 pagi, dipadam sepenuhnya pada jam 6 pagi.
Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.