Tumpuan :
Nasional

13 lagi pegawai pemeriksa kenderaan ditahan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).- FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Seramai 13 lagi pegawai pemeriksa kenderaan disyaki terbabit dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di pusat pemeriksaan kenderaan di sekitar ibu negara ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia antara 20 dan 40-an itu ditahan antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang semalam dan 10 pagi hingga 3 petang hari ini ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah antara RM150 hingga RM1,500 sebulan secara tunai daripada runner sebagai balasan membantu meluluskan pemeriksaan kenderaan di mana mereka bertugas.

“Penahanan kesemua suspek adalah susulan tangkapan enam pegawai pemeriksa kenderaan pada Isnin lalu dan juga hasil soal siasat yang dijalankan oleh SPRM ke atas seorang ejen yang diserahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini,” katanya.

Sehingga hari ini SPRM sudah menahan 22 suspek termasuk 19 pegawai pemeriksa kenderaan, seorang ejen dan dua orang runner.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun beliau berkata, kesemua 13 pegawai pemeriksa kenderaan yang ditahan semalam dan hari ini akan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini