Oleh: Safwan Sawi
TAWAU: Dua lelaki ditemui selamat selepas hilang sejak 24 Jun lalu ketika keluar berburu di kawasan hutan berhampiran Ladang OP 6 Usahawan Borneo Brumas, Tawau.
Mangsa dikenali Iwan Musakir, 33 tahun bersama anak saudaranya Al Fajri Anto, 11 tahun dijumpai oleh orang awam sekitar jam 9 pagi sebelum Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari kesembilan bermula.
13 hari hilang di hutan, 2 lelaki termasuk budak ditemui selamat pic.twitter.com/bYj2YFGvq0
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) July 7, 2023
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa seterusnya dihantar ke Dewan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) berjumpa dengan keluarga mangsa.
“Pasukan Bomba menjalankan pemeriksaan terhadap mangsa memastikan mangsa dalam keadaan baik, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1 tengah hari,” kata kenyataan itu hari ini.
29 Jun lalu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau menerima panggilan daripada polis berhubung kehilangan lelaki berumur 33 tahun bersama anak saudaranya berumur 11 tahun itu pada jam 8.56 pagi.
Mangsa dikatakan keluar berburu secara berkumpulan seramai lapan orang sebelum berpecah kepada beberapa kumpulan ketika di dalam hutan.
Usaha mencari mangsa telah dilakukan oleh rakan-rakannya namun gagal dijumpai sehinggalah ditemui awal pagi tadi.