Tumpuan :
Nasional

13 bukit jadi lokasi perpindahan sekiranya banjir besar melanda Gua Musang

Nik Raisnan (baju biru) meninjau persiapan menghadapi banjir di daerah ini. -Foto: NSTP

GUA MUSANG: Sebanyak 13 bukit dikenali pasti menjadi lokasi tempat perpindahan, sekiranya banjir besar berlaku yang menyebabkan pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini turut tenggelam.

Ketua Jajahan Gua Musang yang juga Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Nik Raisnan Daud berkata, inisiatif ini diambil susulan banjir besar pada 2014 yang menyebabkan penduduk terpaksa menyelamatkan diri di atas bukit, dan ada antara mereka yang terputus bekalan makanan.

Katanya, pihaknya mengambil pendekatan awal bagi mengenali pasti 13 bukit ini sebagai kesiapsiagaan supaya penduduk di daerah ini tidak berhadapan dengan kesukaran sama seperti 10 tahun lalu.

“Mengambil iktibar daripada kejadian banjir besar 2014, kami membuat persiapan awal dengan mengenal pasti 13 bukit sebagai tempat menyelamatkan diri sekiranya berlaku banjir besar sehingga menyebabkan PPS tenggelam.

“Antara lokasi yang sudah dikenal pasti adalah di Kampung Batu Papan, Lebir, Kampung Limau Kasturi dan Aring. Banjir besar 10 tahun lalu di luar jangka dan kita tidak ada persiapan awal.

“Di lokasi yang sudah dikenali pasti ini, kami sudah menyediakan pelbagai kelengkapan untuk kegunaan mangsa banjir. Bahan makanan turut disediakan bersama-sama peralatan memasak, lampu suluh, tali dan khemah untuk kegunaan mangsa banjir yang terpaksa berpindah ke atas bukit,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Nik Raisnan berkata, lokasi 13 bukit ini dan tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kejadian banjir luar jangka akan dihebahkan ketika solat Jumaat, dan dengan bantuan daripada penggawa serta penghulu.

Katanya, sejak sebulan lalu pihaknya juga sudah mengarahkan semua masjid di kawasan bandar dan mukim untuk melakukan solat hajat supaya banjir besar tidak berlaku.

“Kesiapsiagaan kita bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka banjir basar berlaku sudah bermula awal dan pada bulan lalu, kami menganjurkan program simulasi banjir yang membabitkan semua agensi antaranya polis, bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Selain lima bot daripada pelbagai agensi, terdapat juga 25 bot persendirian sudah didaftarkan sebagai persediaan mengambil Monsun Timur Laut (MTL) di daerah ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini