Tumpuan :
Nasional

13 bas ekspres dilarang berada di jalan raya

Lokman ketika menyertai operasi khas sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Terminal Bersepadu Selatan.- Foto: Amirudin Sahib

KUALA LUMPUR: Susulan pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap 2,801 bas ekspres di 28 terminal di seluruh negara sejak 1 Februari lalu hingga hari ini, sebanyak 13 bas ekspres tidak dibenarkan berada di jalan raya.

Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ  Datuk Lokman Jamaan berkata, hasil pemeriksaan itu, sebanyak 44 bas diambil tindakan dengan 13 daripadanya tidak dibenarkan berada di jalan raya kerana tahap keselamatan yang rendah dan tidak mencapai standard keselamatan ditetapkan.

“Selain itu, kami juga menjalankan ujian saringan urin terhadap 187 pemandu bas ekspres dengan empat daripadanya didapati positif dadah dan kes itu diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.

“Bayangkan jika mereka dibenarkan dengan memandu bas ini, kita boleh lihat ia membawa kepada risiko kemalangan terhadap penumpang yang menggunakan perkhidmatan awam ini,” katanya katanya pada sidang media selepas menghadiri Op Khas Terminal di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini, hari ini.

Lokman berkata, pihaknya turut memeriksa syarikat pengendali bas ekspres sama ada terdapat tunggakan saman JPJ atau polis yang tidak dijelaskan.

“Pada masa sama, kami juga menjalankan pemeriksaan teknikal terhadap tayar, brek dan peralatan keselamatan bas bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang dalam keadaan selamat.

“Kami juga memeriksa buku log setiap bas ekspres ini bagi memastikan pergerakannya berada dengan sempurna.

“Kami akan meneruskan pemeriksaan ini sepanjang bulan perayaan Tahun Baru Cina dan cuti sekolah bagi menjamin keselamatan semua pihak,” katanya.

Beliau turut memohon kerjasama orang ramai khususnya penunggang atau pembonceng motosikal untuk menggunakan kenderaan perkhidmatan awam seperti bas ekspres yang dilesenkan.

“Penggunaan kenderaan awam ini bagi perjalanan jarak jauh atau balik kampung akan dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan risiko kemalangan khususnya bagi penunggang serta pembonceng motosikal.

“JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan pemandu bas ekspres termasuk mana-mana pengguna jalan raya yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan,” katanya.

Katanya, penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini