![](https://media.buletintv3.my/2024/03/oAHCEgAz-BTV3-WORK-25.jpg)
ALOR SETAR: Sebanyak 127 notis kompaun dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah kepada pengendali makanan bazar Ramadan di negeri ini atas pelbagai kesalahan sejak 12 Mac lalu hingga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria berkata notis itu dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 687 premis makanan di 101 tapak bazar Ramadan di seluruh Kedah bagi minggu pertama.
![](https://media.buletintv3.my/2024/03/gBhSX6cg-BTV3-WORK-27.jpg)
“Notis dikeluarkan membabitkan Notis 32B, notis kepada pengendali yang tiada suntikan anti-tifoid dan notis kepada pengendali tiada latihan atau kursus pengendali makanan.
“Kita mahu pastikan sifar kes keracunan makanan yang dilaporkan berpunca dari bazar Ramadan serta memastikan makanan yang disediakan dan dijual adalah selamat dan mematuhi Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan pemantauan di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman, di sini hari ini.
Mansor berkata pemantauan itu bertujuan untuk melindungi kesihatan orang awam dan mempromosi amalan keselamatan makanan dalam kalangan peniaga dan pembeli.
“Peniaga jangan terlalu mengejar keuntungan hingga mengabaikan kualiti makanan atau minuman yang dijual, jangan ada kes keracunan kerana itu boleh mendatangkan kemudaratan kepada pembeli.
“Pembeli juga disarankan mengamalkan konsep ‘Lihat, Hidu dan Rasa’ sebelum menikmati juadah yang dibeli,” katanya.
Pembeli juga boleh menyalurkan sebarang maklum balas dan aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan di bazar Ramadan menerusi sistem imbasan kod QR Maklumbalas atau Aduan Kebersihan dan Keselamatan Makanan yang telah disediakan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKN Kedah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.