SEPANG: Seramai 127 kakitangan warga Media Prima Berhad (MPB) bersama ahli keluarga berangkat ke Makkah bagi menunaikan umrah hari ini.
Menerusi Program Umrah dan Ziarah 2024, rombongan berkenaan berlepas ke Makkah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.30 petang ini dengan penerbangan Saudia Airline.
Rombongan ini turut diraikan Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.
Syed Hussian berkata, beliau gembira dan bersyukur dapat bersama dan menyantuni kakitangan yang akan mengerjakan umrah hari ini.
Beliau turut mengucapkan selamat pergi dan kembali kepada kakitangan semoga diberi kesihatan yang baik dan dapat mengerjakan umrah dengan sempurna.
Katanya, rombongan ini turut disertai empat bekas kakitangan yang dibiayai dan diinfak oleh kakitangan dan rakan-rakan yang masih bertugas melalui potongan gaji.
“Inisiatif julung kali diadakan ini adalah sangat baik dan ia perlu diteruskan di masa depan kerana ia dapat mewujudkan sikap prihatin dalam kalangan kakitangan,” katanya kepada media ketika menyantuni rombongan umrah di Balai Berlepas KLIA hari ini.
Turut berangkat, Pengarang Harian Metro, Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan isteri, Zalina Othman serta anak lelaki, Muhammad Zayyan Islam.
Rombongan umrah anjuran MPB kali ke 15 ini dijangka pulang ke tanah air pada 20 Oktober ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.