RANTAU PANJANG: 39 pesawah dari Kampung Luar dan Kampung Tersang, di sini, menanggung kerugian hampir RM1 juta selepas sawah padi seluas 121 hektar ditenggelami banjir sejak lima hari lalu.
Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan Kampung Luar dan Kampung Tersang, Azli Jaafar, 56, berkata keseluruhan padi berkenaan sudah masak dan sepatutnya dalam fasa penuaian namun mereka hanya mampu ‘berputih mata’ apabila hampir keseluruhan padi ditenggelami air.
Katanya, padi biasanya akan rosak selepas ditenggelami air selama tiga atau empat hari, sekali gus mensia-siakan usaha pesawah yang sudah menyemai benih sejak empat bulan lalu.
“Sebenarnya kami mula menyemai agak lewat susulan banjir fasa lalu yang pulih pada Februari. Kami menjangkakan sempat untuk proses menuai sebelum musim tengkujuh tiba, tetapi jangkaan meleset apabila bah melanda lebih awal.
“Tambahan pula, pembinaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang mana berdekatan dengan kawasan ini turut menyebabkan air naik dengan cepat berbanding biasa,” katanya ketika ditemui di Kampung Luar, Gual Periok, di sini, hari ini.
Azli yang sudah lebih 20 tahun bekerja sebagai pesawah berharap kerajaan dan pihak bertanggungjawab dapat membantu mereka demi kelangsungan untuk meneruskan tanaman baharu pada musim akan datang.
Sementara itu, Che Jailani Che Harun, 53, berkata sawah miliknya yang seluas empat hektar juga tidak terkecuali ditenggelami banjir dan menyebabkan kerugian hampir RM30,000 untuk musim ini
“Nilai berkenaan membabitkan kos anak benih, racun serangga dan upah membajak. Selain itu, kami juga perlu menanggung bayar sewa tanah sekitar RM180 sehingga RM300 semusim bergantung kepada keluasan sawah.
“Hari ini, tepat 126 hari usia padi dan sepatutnya ia boleh dituai namun melihat kepada keadaan sawah yang dipenuhi air agak mustahil untuk diselamatkan.
“Semoga nasib kami ini mendapat perhatian daripada pihak berkenaan tambahan pula mungkin akan berlaku beberapa lagi fasa banjir di kawasan ini sekali gus menyebabkan kami hilang punca pendapatan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.