comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 120,000 pengguna akan peroleh bekalan air awal pagi esok 

BUTTERWORTH: Bekalan air bagi 120,000 pengguna di daerah Barat Daya di sini dijangka pulih awal pagi esok.

Penduduk di kawasan terlibat berdepan masalah bekalan air susulan kebocoran paip yang berlaku di dasar Sungai Perai.

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, ketika ini pelan tindakan kecemasan dinamakan ‘Pelan A’ iaitu kerja mengapit semula bahagian atas paip pecah siap dilaksanakan.

Katanya jika kerja Pelan A berjalan mengikut masa ditetapkan, pengguna air yang terkesan dapat memperoleh bekalan seawal pagi esok dan paling lewat pada pagi Ahad ini.

“Kita sekarang bekerja melawan masa bagi memastikan Pelan A ini berjaya dan lima pasukan yang dibentuk berada di empat lokasi ditetapkan untuk membolehkan usaha ini berhasil.

“Pulau Pinang kini menghadapi fenomena ‘bulan penuh’ (menyebabkan air pasang dan surut) yang menjadi cabaran kepada pasukan untuk memasang pengapit.

“Namun, kita berjaya memasang pengapit di bahagian atas paip dan kini kerja memasang pengapit di bahagian bawah sedang dilaksanakan dengan kita jangka siap pada jam 4 petang ini, seterusnya dapat memulihkan bekalan air kepada pengguna yang terjejas,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Selasa lalu, saluran paip di dasar Sungai Perai mengalami kebocoran sekali lagi menjadikan ia insiden ketiga selepas dua kejadian paip bocor dilaporkan pada Disember tahun lalu dan 12 Januari lalu.

Susulan beberapa kejadian itu mendorong Kerajaan Pulau Pinang melaksanakan kaedah pemasangan paip gantian sementara merentasi Sungai Perai bagi mengatasi masalah saluran paip bawah air yang bocor di sungai itu.

Kon Yeow berkata, Pelan A seperti dimaklumkan semalam adalah penyelesaian sementara bagi membolehkan pengguna yang terjejas menerima semula bekalan air untuk memberi peluang mereka menyimpan bekalan air secukupnya.

Ini kerana, katanya, PBAPP akan meneruskan Pelan B iaitu kerja pemasangan dua paip lencongan 600 milimeter merentasi Sungai Perai sekali gus menamatkan masalah bekalan yang berlaku.

Beliau berkata, kerja itu sudah siap 70 peratus dan berjalan serentak dengan Pelan A.“Kita jangka kerja pemasangan kedua-dua paip lencongan akan siap Sabtu ini berbanding jangkaan awal iaitu Isnin depan.

“Dalam hal ini, kerja penyambungan paip baharu memerlukan masa 16 jam dan bekalan air akan dipulihkan pada Selasa mengikut jadual kepada pengguna,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan terjejas seperti operasi yang digerakkan sebelum ini.

Loading...
Terkini