comscore
Tumpuan :
Nasional

120,000 penduduk Pulau Pinang akan berdepan gangguan bekalan air lagi

FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Kira-kira 120,000 akaun pengguna Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di daerah Barat Daya akan mengalami gangguan bekalan air berjadual (SWSI) selama 16 jam.

Ia susulan kerja lencongan selepas pemasangan dua saluran paip 600 milimeter (mm) di Sungai Perai.

Notis berhubung perkara itu akan dimaklumkan segera kepada pengguna terjejas apabila syor SWSI dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada Rabu depan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kerja pemasangan dua saluran paip itu dijadualkan siap pada 2 Februari depan dengan kemajuan yang ditunjukkan setakat ini mencapai 50 peratus.

Ketua Menteri Pulau PInang, Chow Kon Yeow meninjau kerja pembaikan paip di Sungai Perai, bersebelahan Jambatan Ampang Jajar. – FOTO: NSTP

“Namun, sehingga semua kerja itu siap nanti, dua saluran paip 600mm berkaitan akan menggantikan saluran paip bawah permukaan air bocor yang terletak di dasar Sungai Perai.

“Walau bagaimanapun, kerja lencongan masih diperlukan untuk menyambungkan dua saluran paip 600mm baharu dan menamatkan sambungan saluran paip 1,350mm yang bocor.

“Lencongan saluran paip berkaitan memerlukan pihak PBAPP menutup sementara keseluruhan saluran paip 1,350mm dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang ia secara tidak langsung akan menyebabkan berlakunya gangguan bekalan terhadap 120,000 pengguna akaun, terutamanya di daerah Barat Daya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja pembaikan paip di Sungai Perai yang terletak bersebelahan Jambatan Ampang Jajar, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir K Pathmanathan berkata, pengoperasian saluran paip berkembar itu adalah ‘penyelesaian sementara’ yang akan menangani risiko kebocoran lebih besar daripada saluran paip bawah permukaan air Sungai Perai yang bocor.

“Sehingga hari ini, PBAPP menanggung sebanyak 154 juta liter sehari (JLH) daripada kebocoran saluran paip bawah air.

“Dengan pengoperasian saluran paip berkembar yang berada di atas permukaan air, saluran paip bawah permukaan air ini akan ditamatkan operasinya.

“Seterusnya, PBAPP akan memulakan kerja untuk saluran paip menyeberangi sungai 1,350mm baharu sebagai penyelesaian kekal,” katanya.

Tambhanya, penyelesaian kekal itu perlu memandangkan PBAPP memerlukan bahagian saluran paip baharu yang boleh mengendalikan lebih banyak aliran air tekanan tinggi.

“PBAPP akan merancang gangguan bekalan air berjadual paling singkat dan paling tidak menyusahkan bagi setiap kerja-kerja yang dilaksanakan,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini