comscore
Tumpuan :
Jenayah

12 suspek rompak, tetak penghuni banglo diburu


Oleh: Fahiz Ariff

KLANG: Seorang lelaki cedera ditetak 12 penjenayah bersenjatakan parang dalam satu kejadian pecah rumah melibatkan kerugian bernilai RM600,000 di Jalan Jagong, Pandamaran, di sini, awal pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata rentetan jenayah itu, mangsa menerima rawatan empat jahitan di Hospital Pantai, Klang,

Oleh itu, pihaknya giat mengesan kesemua suspek dan menyiasat kenderaan yang dinaiki kumpulan penjenayah itu.

“Siasatan awal polis mendapati dalam insiden sekitar jam lebih kurang 5 pagi, pada Khamis, seramai 10 hingga 12 orang suspek dipercayai warga tempatan telah sampai di hadapan rumah pengadu jenis banglo 3 tingkat menaiki dua buah kereta jenis Honda Civic berwarna putih dan Toyota Vios hitam serta parkir di hadapan rumah pengadu.

“Kesemua suspek memakai pelitup muka, bersarung tangan dan bersenjatakan parang, memanjat tembok pagar hadapan rumah serta menarik pintu jeriji pintu utama sebelum masuk ke dalam rumah”, jelas Cha dalam satu kenyataan.

Tangkap layar dari rakaman video tular kejadian samun di Pandamaran Klang, semalam

Tambah beliau semasa kejadian, salah seorang daripada tiga penghuni rumah berjaya menelefon pihak polis dan meminta bantuan segera.

“Apabila kereta peronda polis sampai ke lokasi kejadian samun, dua buah kereta suspek yang menunggu di hadapan rumah banglo itu terus meninggalkan tempat kejadian manakala kesemua suspek bersenjata parang itu didapati telah melarikan diri.

“Semakan lanjut polis juga mendapati, suspek berjaya melarikan wang tunai, patung sembahyang dan barang kemas milik mangsa yang jumlah keseluruhannya dianggarkan bernilai RM600,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 kanun keseksaan, sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Klang Selatan di talian 03–33762222 bagi membantu siasatan” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
Loading...
Terkini