
KUALA LUMPUR : Setelah 31 hari bersidang, persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15, melabuhkan tirai hari ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul dalam ucapan penangguhannya menzahirkan rasa syukur kerana pembukaan penggal parlimen dapat dilaksanakan dengan penuh istiadat setelah tiga tahun negara berhadapan penularan wabak COVID-19.
“Mesyuarat pada kali ini juga telah memperlihatkan pelbagai pembaharuan yang diterapkan dalam urusan Dewan Rakyat antaranya jumlah pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan kerap kali melebihi daripada 10 pertanyaan lisan.
“Ini disusuli urusan Kamar Khas yang telah memberi peluang kepada Ahli Yang Berhormat seramai tujuh ahli daripada pihak kerajaan dan enam ahli daripada pihak pembangkang untuk mempengerusikan secara sementara mesyuarat Kamar Khas di bawah Peraturan Mesyuarat 16 (5), tidak pernah terjadi,” katanya.
Beliau kemudian menangguhkan persidangan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.
Buat pertama kali pada sidang ini juga, sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada setiap Selasa dijawab oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, 12 rang undang-undang diluluskan antaranya Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 .
Selain itu, Rang Undang-Undang Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan), Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023.
Sesi kali ini turut beberapa kali menyaksikan kekecohan oleh Ahli Parlimen pembangkang sehingga memaksa Johari dan dua timbalannya mengeluarkan amaran, malah ada diarahkan keluar dewan seperti Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) dan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang).
Antara isu sering dibangkitkan semasa sesi perbahasan adalah mengenai pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), isu kesihatan dan doktor kontrak, sekolah daif dan pertahanan negara.
Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 22 Mei hingga 15 Jun depan. – BERNAMA