KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 buah kediaman yang dijadikan stor simpanan dan barang-barang jualan diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu serbuan di Taman Batu View dekat Pasar Borong, awal pagi tadi.
Dalam operasi tindakan khas pindah dan alih barangan perniagaan, barang-barang jualan itu melibatkan sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan runcit dilaporkan disimpan tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Kediaman berkenaan dikesan membuat penukaran kediaman kepada stor simpanan tanpa Perintah Pembangunan menerusi kesalahan di bawah Seksyen 26, Akta Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 1982.
Kesemua barangan dan peralatan yang dirampas telah disita dan dihantar ke Stor Sitaan DBKL untuk rekod dan dokumentasi.
Operasi dan tindakan khas itu akan diteruskan dari masa ke semasa oleh pihak DBKL.
DBKL juga mengingatkan mana-mana pemilik premis atau kediaman agar mematuhi syarat-syarat kegunaan tanah yang telah diluluskan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.