Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kerajaan melaksanakan beberapa perubahan penempatan dan pelantikan baharu bagi jawatan Pengurusan Tertinggi Perkhidmatan Awam membabitkan 12 individu, seiring hasrat untuk melaksanakan Reformasi Perkhidmatan Awam.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perubahan itu dilaksanakan bagi menuntut kepantasan, ketangkasan dan kedinamikan dalam kepimpinan tertinggi sektor awam bagi mendepani era baharu perkhidmatan awam susulan pengumuman Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ia juga adalah manifestasi kepada sinergi jalinan kerjasama antara agensi serta penghayatan kepada prinsip #taatsetia yang meletakkan keutamaan kepada kesetiaan kepada Raja dan Negara dalam merealisasikan aspirasi kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri,” katanya.
Menerusi perubahan penempatan terbabit, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad akan bertukar ke Kementerian Perpaduan dengan jawatan sama.
Beliau menggantikan Datuk Azman Mohd Yusoff yang bertukar menjadi KSU Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) baharu.
Selain itu, Datuk Seri Suriani Ahmad akan menjadi KSU Kementerian Kesihatan (KKM) manakala jawatan KSU Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang ditinggalkannya akan diisi oleh KSU KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Datuk Ruji Ubi iaitu KSU Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula akan bertukar jawatan ke KSU Kementerian Pendidikan (KPM).
Beliau menggantikan Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) kerana Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Azman Ibrahim bakal menjadi KSU KKR.
Perubahan penempatan itu turut membabitkan jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK) JPM yang mana penyandangnya, Datuk Awang Alik Jeman dilantik menjadi KSU KDN dan tempatnya digantikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) JPM, Datuk Abd Shukor Mahmood.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Shamsul Azri berkata, jawatan lama yang ditinggalkannya iaitu Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) JPM akan diisi oleh Timbalan KSU (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Muhammad Razman Abu Samah.
Kesemua perubahan penempatan dan pelantikan baharu bagi jawatan berkenaan berkuat kuasa mulai esok.
Sementara itu, KSU Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan KSU Kementerian Pertahanan akan saling bertukar jawatan iaitu di antara Datuk Seri Lokman Hakim Ali dan Datuk Seri Isham Ishak, berkuat kuasa 23 September ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.