Tumpuan :
Nasional

12 pelajar UMT dibebas dengan jaminan polis

KUALA TERENGGANU: 12 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang dipercayai terbabit dalam kejadian pukul secara bergilir-gilir di sebuah kolej kediaman, Ahad lalu dibebaskan dengan jaminan polis.

Ini selepas reman ke atas kesemua suspek yang berusia di antara 20 hingga 22 tahun telah berakhir, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

12 suspek yang mencederakan mangsa dipercayai sebahagiannya merupakan pelajar yang bergiat aktif sebagai Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa (KORSUKSIS) di universiti tersebut.

Dalam kejadian 15 Disember lalu di kolej kediaman pelajar lelaki, kira-kira jam 1 hingga 5 pagi, mangsa yang berusia 21 tahun, pelajar jurusan perakaunan, dilaporkan dipukul secara bergilir-gilir oleh 12 pelajar sehingga mengalami kecederaan.

Selain ditumbuk dan ditendang, kesemua suspek turut memukul mangsa dengan kayu.

Keluarga mangsa turut mendedahkan laporan perubatan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang mengesahkan mangsa mengalami kecederaan dalaman dan tulang rusuk sebelah kiri patah.

UMT sebelum ini menzahirkan rasa dukacita serta memandang serius atas insiden itu dan belum memutuskan bentuk tindakan yang akan diambil ke atas 12 pelajar berkenaan sehingga siasatan selesai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini