LAHAD DATU: Pemandu treler yang tersepit selepas kenderaan dipandunya terjatuh ke dalam gaung dekat simpang Lembah Danum, Jalan Tawau – Lahad Datu, di sini, berjaya dikeluarkan kira-kira jam 6 petang tadi.
Operasi mengeluarkan mangsa lelaki berusia 51 tahun itu mengambil masa hampir 12 jam berikutan kesukaran yang dihadapi anggota bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Penolong Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah terus diberikan rawatan oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, mangsa kemudian dibawa naik ke atas jalan raya menggunakan pengusung.
“Mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 6.40 petang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa yang memandu seorang diri dari Tawau ke Lahad Datu itu membawa kontena berisi 41.2 tan muatan Baja Borax.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung setinggi 30 meter.
Mangsa yang tersepit di kabin pemandu dilaporkan terpaksa diberikan ubat penahan sakit dan air bagi menenangkannya.
Terdahulu, operasi mengeluarkan mangsa tergendala seketika dan terpaksa menunggu bantuan kren dari Tawau yang terletak sejauh lebih 250 kilometer.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.