comscore
Tumpuan :
Nasional

12.1 tan sampah dasar laut berjaya dikutip

Sukarelawan menyertai program membersih dasar laut di Pulau Sepanggar. – FOTO: Ihsan Mari Mari Sepanggar.

KOTA KINABALU: Sejumlah 12.1 tan sampah dasar laut berjaya dikutip menerusi program Jetama Underwater Cleanup 2024 yang berlangsung selama empat hari berakhir semalam.

Jumlah itu mengatasi sasaran awal kutipan sebanyak 10 tan.

Dilaksanakan serentak di tiga lokasi iaitu Pulau Mabul, Semporna; Pulau Sepanggar, Kota Kinabalu dan Kampung Serusup, Tuaran, program pembersihan dasar laut berkenaan membabitkan 60 penyelam, penduduk selain agensi kerajaan serta swasta.

Program dianjurkan anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Kewangan Negeri Sabah selaku pemegang konsesi air untuk Pantai Barat Sabah, Jetama Sdn Bhd (Jetama).

Objektif utama penganjuran program adalah sebagai usaha mencapai sasaran plastik sifar dalam memastikan kelestarian alam sekitar khususnya di dasar laut.

Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Ahmad Naim Uddang, berkata pembuangan sampah di laut antara masalah yang masih belum dapat diatasi sepenuhnya ketika ini.

“Malahan 90 peratus sampah yang dibuang dan tenggelam ke dasar laut adalah plastik.

“Oleh itu, Jetama mengambil inisiatif seumpama ini agar dapat melestarikan alam sekitar selain mahu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga keindahan laut kita.

“Selain itu, komitmen Jetama bukan hanya sekadar usaha pembersihan semata-mata tetapi kita berpendapat keterlibatan syarikat di dalam program sebegini juga berkait rapat dengan inisiatifnya untuk menangani pencemaran plastik dan mempromosikan kelestarian melalui konsep kredit plastik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Naim berkata Jetama akan meneruskan program seumpama itu dengan memastikan sasaran plastik sifar mampu dicapai setiap tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini